.
KHAMIS lalu, Bloomberg telah melaporkan kebimbangan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap kemungkinan kehilangan kerja yang tinggi jika penggabungan operasi telekomunikasi Asia antara Axiata Group Bhd. dengan firma Norway, Telenor ASA diteruskan.
Pendirian Perdana Menteri yang telah disahkan oleh wakil pejabat beliau tentunya menarik perhatian ramai kerana apa yang difahami, Tun Dr. Mahathir telah meminta butiran lebih lanjut mengenai penggabungan tersebut sebelum perjalanan beliau ke Jepun.
Analisis mendalam mengenai daya maju cadangan penggabungan mega ini telah dua kali dibentangkan sebelum ini, dan berikut adalah analisis terbaharu yang menyorot lebih terhadap Telenor.
1 Hilang kerja
Berkaitan manfaat sinergi daripada penggabungan kedua-dua entiti itu, Axiata berkata, penjimatan capex (perbelanjaan modal) adalah sebanyak dua per tiga daripada unjuran nilai aset sebanyak RM9 bilion dan hampir 40 peratus (RM4 bilion) disasarkan dapat dijimat di Malaysia.
Apa yang difahami buat masa ini, Malaysia adalah satu-satunya negara di mana Axiata dan Telenor akan bertindih dalam syarikat usaha sama yang bakal ditubuhkan, MergedCo.
Penggabungan ini akan membabitkan 2,700 warga Celcom dan 1,700 warga Digi. Di sebalik jaminan Axiata tidak akan berlaku pemberhentian kerja, namun pada nafas yang sama ia menyatakan kemungkinan diadakan Skim Pemisahan Sukarela (VSS), jika tidak dalam masa terdekat, tentunya beberapa tahun kemudian.
- Kiraan mudah ialah sesudah disatukan, apakah hendak dibuat dengan ribuan kedai Digi dan Celcom, yang biasanya kita jumpa terletak sebelah menyebelah di pusat beli-belah. Tentunya nanti akan ada penyusunan ke atas kakitangan jualan.
- Bila diteliti kenyataan daripada kedua-dua pihak, jaminan mengenai tenaga kerja datang hanya dari Axiata terhadap warga Celcom. Bagaimana warga Digi? Mereka juga rakyat Malaysia.
- Mungkin, apa yang Dr. Mahathir mahu tahu lebih lanjut ialah bolehkah Tan Sri Jamaludin memegang janjinya walaupun selepas khidmat beliau di dalam Axiata atau MergedCo berakhir? Dan tidak melepaskan tangan kepada Telenor mengenai hal pemberhentian kerja warga Digi.
- Kebanyakan pasukan pengurusan kanan Telenor Asia berasal dari Eropah, sekilas itu juga minda kita akan tertanya apakah ia akan berlaku juga di Malaysia kerana Telenor akan menjadi pemegang saham utama MergedCo nanti.
2 Lagi untung?
Menurut Garis Panduan Pembenaran Tingkah Laku oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang di umum pada 21 Mei lalu, sesuatu penggabungan itu hendaklah membuktikan ia akan wujud dan beroperasi untuk sebenar-benar manfaat kepada negara. Terjemahan: kepentingan negara mengatasi peraturan persaingan.
- MergedCo akan memiliki 67 peratus ekuiti di dalam MalaysiaCo. Dengan saham terbesar sebanyak 56.5 peratus, syarikat Norway ini tentunya menjadi penentu keputusan utama.
- Di sebalik jaminan bahawa Pengerusi, CEO dan majoriti lembaga pengarah MalaysiaCo akan terdiri daripada rakyat Malaysia, syarikat itu sendiri akan berperanan atas kepentingan MergedCo yang dikuasai Telenor. Penggabungan setara atau merger of equal yang dikatakan menjadi prinsip utama transkasi ini sekadar di atas kertas, dinamika realiti pengurusan parti berbeza.
- Ketua Pegawai Eksekutif Telenor, Sigve Brekke menyatakan penggabungan itu akan mewujudkan sinergi teknologi kepada kedua-dua syarikat misalnya pembangunan 5G dan Kecerdasan Buatan (AI) yang memerlukan tahap kemahiran tinggi dan akhirnya disalurkan kepada pengautomasian. Kelihatan ia lebih menguntungkan Telenor berbanding Malaysia.
- Ketika di Jepun, Perdana Menteri juga berkata, perkongsian strategik dalam bidang telekomunikasi itu penting supaya Malaysia dapat menguasai teknologi dan tidak ketinggalan. Namun jika kita tidak menguasai majoriti syarikat ini bagaimanakah kita mampu menguasai teknologinya? Tambahan pula, Telenor hanya merupakan operator telekomunikasi dan bukannya gergasi teknologi yang menguasai infrastruktur telekomunikasi secara komprehensif seperti Huawei misalnya.
3 Mengapa pilih Axiata?
Mudah. Ini kerana Axiata berada di dalam kedudukan paling lemah setelah mencatatkan kerugian besar RM5 bilion pada tahun kewangan 2018 dan harga sahamnya berada di paras terendah. Bijak Telenor.
- Apakah keperluan White Knight untuk menyelamatkan Axiata? Di dalam artikel The Edge pada 27 Mei lalu, CEO Telenor Sigve Brekke membayangkan bahawa sebuah firma asing dengan ‘dasar memandang ke hadapan’ seperti Telenor adalah diperlukan bagi rantau ini untuk membangun. Tanpanya, sektor telekomunikasi tidak boleh menyumbang AS$4.3 bilion kepada ekonomi Malaysia.
- Artikel itu turut menyatakan “Tiada satu syarikat atau negara adalah cukup besar untuk meraih peluang di dalam perlumbaan senjata digital global’. Bagi pelajar sejarah, bunyinya sama seperti Syarikat Hindia Timur yang menjajah Asia Tenggara pada zaman silam.
- Jadi apakah Malaysia dan rantau ini akan menjadi sekadar soldadu bagi Norway, sebuah negara Barat untuk muncul sebagai juara perlumbaan senjata digital global? Sekurang-kurangnya Huawei yang menjadi pilihan Malaysia untuk pembangunan 5G adalah konsisten dengan Dasar Pandang ke Timur.
4 Apakah ini penggabungan radikal?
- Benarkah? Satu syarikat lemah, satu lagi penyelamat. Menurut Tan Sri Jamaluddin Ibrahim, Axiata telah mencari rakan kolaborasi sejak 2017. Cuma dengan pelbagai persoalan mengenai butiran penggabungan, ia mencetuskan kebimbangan apakah urus niaga ini sebenarnya versi terkini `penjajahan era baru’.
- Mengapa kita benarkan firma Norway ini hak kawalan tanpa dikenakan premium? Mereka akan mengawal pertumbuhan aset masa hadapan kita di dalam dunia digital tetapi pada masa sama merosakkan daya saing Malaysia di dalam sektor minyak sawit.
- Umum mengetahui Norway sememangya lantang bersuara membantah penggunaan minyak sawit yang atas alasan kelestarian alam sekitar. Adakah dengan penguasaan Telenor ini, Norway kini akan membeli lebih banyak minyak sawit Malaysia seperti yang dijanjikan China dalam rundingan meneruskan ECRL?
- Pemegang saham Axiata juga hendaklah prihatin kepada soal aset-aset sedia ada syarikat dan keselamatan aset strategik. Terlalu kemarukkah untuk mengaut seberapa banyak keuntungan?
5 Apakah masalah Axiata selesai selepas ini?
- Kemungkinan besar ya. Isu aliran tunai dan pertumbuhan masa hadapan akan dapat dibantu oleh Telenor. Apatah lagi penggabungan ini akan mewujudkan syarikat jauh lebih besar dari Maybank di Bursa Saham Kuala Lumpur.
- Tetapi harus diingatkan, Maybank masih majoriti dimiliki Malaysia. MergedCo tidak akan.
.
http://www.utusan.com.my/rencana/utama/benarkah-kita-lagi-untung-1.911952
0 Comments