Sponsors

Header Ads

Benarkah PPSMI bakal dilaksanakan semula?


.
KUALA LUMPUR - Masih ingatkah anda semua kepada Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)?

Sistem pengajaran dan pembelajaran yang dimansuhkan kerajaan pada tahun 2012 selepas mengambil kira beberapa faktor dan hasil dapatan kajian.

Dasar pendidikan yang mendapat tentangan hebat dalam kalangan cendekiawan, ahli akademik, malah tokoh pendidik.


Maklumat yang diperolehi Utusan Online malam ini daripada sumber yang boleh dipercayai ialah Kabinet dikhabarkan telah bersetuju untuk melaksanakan semula dasar PPSMI.

Hal ini agak mengejutkan kerana pada April lalu satu kajian dan penyelidikan mengenai PPSMI dilapor bakal diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Kajian itu dilakukan oleh beberapa tokoh pendidik selepas wujud desakan sejak kebelakangan itu daripada golongan yang menyokong pelaksanaan sistem pengajaran dan pembelajaran itu dikembalikan.

Namun dalam tempoh dua bulan sahaja, kerajaan telah membuat keputusan untuk melaksanakan kembali dasar pendidikan berkenaan, sekiranya maklumat yang diterima benar.

Menyelusuri sejarah PPSMI yang mula dilaksanakan pada tahun 2003 ketika negara di bawah pentadbiran Dr. Mahathir sentiasa menjadi perdebatan.

Yang membantah pula bukan golongan biasa, tetapi meliputi pelbagai segmen cendekiawan, tokoh bahasa, tokoh pendidik dan ahli akademik.

Mereka melihat pelaksanaan tersebut tidak membantu pelajar, sebaliknya menambah beban. Mereka juga tidak melihat langkah itu mampu memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

Pelbagai kajian dilakukan dalam tempoh selepas PPSMI dilaksanakan untuk menunjukkan bahawa kerajaan telah melakukan kesilapan dengan memperkenalkan dasar tersebut.

Akhirnya pada 2009, Menteri Pelajaran ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemansuhan PPSMI dan proses tersebut mengambil masa selama tiga tahun sehingga 2012.

Pemansuhan tersebut bukan hanya dibuat atas desakan golongan-golongan seperti disebutkan tetapi berdasarkan beberapa hasil dapatan kajian dan penyelidikan terhadap dasar pendidikan tersebut selepas dilaksanakan.

Antaranya ialah tahap pendidikan Malaysia dilaporkan menjunam. Bagi bidang Matematik daripada kedudukan ke-20 kepada 10 sebelum ini dan Sains pula daripada 20 kepada 21.

Dilaporkan juga hanya lapan peratus guru yakin untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dengan sekolah ketika itu berhadapan dengan masalah kekurangan guru yang fasih berbahasa Inggeris untuk mengajar kedua-dua mata pelajaran berkenaan.

Itu hanya beberapa faktor yang dikatakan mendorong kepada kerajaan membuat keputusan memansuhkan PPSMI.

Namun kini, selepas tujuh tahun dimansuhkan, dikhabarkan Kabinet yang sekali lagi dipimpin oleh Dr. Mahathir bakal melaksanakan kembali PPSMI.

Tetapi benarkah Kabinet akan melaksanakannya semula?

Sama ada benar atau tidak, kerajaan khususnya kementerian terlibat perlu mengesah atau menafikannya. - UTUSAN ONLINE
.

Post a Comment

0 Comments